
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam ke atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Nabi Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, juga buat keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w yang telah menjualkan jiwa dan harta mereka kepada Allah s.w.t demi ketaatan dan kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta berjihad pada jalan-Nya.
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu bapa, karib kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”
( An-Nisa : 36)
Kehidupan ini tidak dapat lari dari ujian dan dugaan Allah, cuma bagaimana bentuk ujiannya hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Namun adakalanya dalam melayari kehidupan ini kita terkadang terlupa tujuan dan matlamat kehidupan kita di bumi Allah ini. Yang lebih membimbangkan lagi apabila kita terlupa untuk bersyukur atas setiap kurniaan nikmat dan rahmat dari Allah ke atas kita. Dan yang lebih teruk lagi apabila kita lalai dan melupakan terus untuk mensyukuri segala kenikmatan yang Allah beri kepada kita tanpa ada rasa bersalah.
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya adzab-Ku sangat pedih".
(QS Ibrahim: 7)
Kisah yang akan paparkan ini benar-benar menyentuh hati hati saya dan semoga menjadi satu iktibar dan peringatan kepada kita semua samada kita sebagai ibu bapa, remaja, guru atau para pemimpin. Sesungguhnya dalam kehidupan di zaman teknologi yang serba canggih ini masih terdapar ramai insan-insan kerdil yang begitu daif dan memerlukan bantuan dan perhatian dari kita. Mereka –mereka ini tinggal hanya berjiran dengan kita namun adakalanya kita seperti tidak merasakan kehadiran dan kewujudan mereka. Mereka-mereka ini yang saya maksudkan ialah golongan fakir miskin yang wujud dalam kawasan atau kariah kita
Petang itu semasa mengunjungi pasaraya berhampiran, saya bertemu dengan sahabat saya seorang guru di sebuah sekolah rendah. Setelah berbual panjang, dia mengajak saya minum teh di warung bertentangan pasaraya tersebut. Kami menyambung perbualan kami yang kebanyakkan berkisar mengenai isu semasa terutama masalah para remaja hari ini.
“ Sekolah macam biasalah. Banyak kerja apatah lagi sekarang ni musim semua sekolah dok buat sukan. Cuma semalam kami baru tahu suatu cerita sedih dan menyentuh hati saya, ” rakan saya semangat bercerita apabila saya bertanya mengenai keadaan sekolah tempat dia mengajar.
“Ada dua adik beradik di sekolah saya yang selalu datang ke sekolah dan tak pernah bawa wang walau sesen pun. Yang adik, perempuan di tahun tiga, manakala si abang pula di tahun enam. Walau tak bawa sesenpun namun mereka selalu datang ke sekolah dan tak pernah ponteng.”
“Nak tahu kenapa?” tanya rakan saya yang sememangnya tidak memerlukan jawapan dari saya.
“ Mereka selalu datang ke sekolah kerana hanya pada hari persekolahanlah mereka akan dapat menikmati makanan percuma. Kedua mereka akan dapat menikmati makanan melalui Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Dan itulah merupakan satu-satunya hidangan yang mereka nikmati sepanjang hari tersebut. Ini bermakna mereka hanya makan sehari sekali! Bayangkan di saat anak-anak lain menikmati makanan yang enak-enak entah berapa kali sehari sedangkan mereka hanya berpeluang untuk makan sekali sehari dan ini dilalui mereka setiap hari. Mereka tidak pernah memberitahu guru-guru apatah lagi untuk meminta-minta. Cuma cerita ini dikongsi bersama-rakan-rakan mereka. Kisah penderitaan dua beradik ini hanya terbongkar apabila beberapa orang pelajar yang bersimpati dengan nasib mereka memberitahu Guru Penolong Kanan.”
“Sebenarnya kedua adik beradik ini menjadi mangsa keruntuhan rumahtangga. Ayah mereka berkahwin lain dan meninggalkan ibu dan mereka tanpa sebarang nafkah dan berita. Tinggallah si ibu dengan kedua-dua anaknya terkontang-kanting meneruskan kehidupan . Bertambah malang lagi, ibu kepada kedua pelajar ini merupakan seorang yang agak lurus bendul dan tidak berapa sihat fikirannya.”
“Dia orang makan sehari sekali sahaja?. Hari cuti macamana?” tanya saya penuh ingin tahu.
“ Memang kedua beradik tu makan sehari sekali saja. Pada waktu rehat mereka tengoklah pada kawan-kawan yang makan tak habis atau pada pelajar yang bersimpati kepada mereka. Si abang beritahu pada rakan-rakannya, pada waktu malam mereka akan tidur lebih awal kerana takut lapar semula. Hujung-hujung minggu kadang-kadang si abang membantu kerja-kerja di gerai. Tapi si abang tak ambil wang sebagai upah, sebaliknya minta dibungkuskan tiga bungkus nasi atau makanan untuk dibawa pulang. Ada kalanya ibu mereka masak juga makanan pada anak-anak tersayang, tapi yang dimasak hanyalah sayur-sayur dan pucuk-pucuk daun dikutip dari kawasan sekitar. Mereka masih menggunakan dapur kayu untuk memasak. Mana ada duit nak beli gas! Makanlah ketiga beranak tu sayur dan pucuk daun tanpa nasi,” cerita rakan saya penuh emosi. Saya melihat matanya mula berkaca.
“ Kita tengok diri kita hari ini, adik beradik kita, anak-anak kita bukan sahaja dilimpahi dengan makanan yang berlebihan malahan membazir tanpa rasa bersalah. Kadang kala makan tak ingat dunia. Sedangkan di luar sana masih ada orang yang nak makan sesuap nasi begitu susah dan payah sekali. Sebab apa Kerana kita jarang bersyukur atas segala nikmat yang Allah Ta’ala beri pada kita. Sebab kehidupan kita dah selesa dan anak-anak sekarang tidak merasa keperitan hidup seperti zaman kita dahulu”
Saya bersetuju dengan kata-kata rakan saya. Hari ini kita dilimpahi dengan kemewahan sehingga kita tidak pernah melihat ia sebagai satu nikmat dan rahmat Allah. Bila kita berjalan ke hadapan, kita jarang ingin menoleh atau melihat ke belakang. Kita terus mara dan mara. Begitu juga dengan kehidupan ini, kita hidup di dunia yang sementara ini, kita tak pernah berasa puas atau redha dengan nikmat yang Allah bagi. Ada saja benda yang tak kena dan tak cukup. . Contoh dalam hal berkenderaan. Cuba lihatlah pada diri kita sendiri ( saya melihat diri saya sendiri ) bila kita sudah punya kenderaan yang masih elok dan baik keadaannya , kita masih rasa tak puas hati. Kita sudah berura-ura hendak tukar dengan yang baru bila melihat rakan-rakan atau jiran-jiran membeli kereta baru. Malahan ada keluarga yang anak cuma seorang dua pun sibuk nak tukar ke kenderaan mewah yang lebih besar padahal itu bukannya lagi satu keperluan. Pada hal kereta yang ada masih berkeadaan baik . Bila ini berlaku nafsu sudah mengatasi keperluan.
Begitu juga dengan gaya hidup anak-anak remaja kita terutama yang hidup di kota (samada kota besar atau kecil). Anak-anak remaja kita hari ini hidup dalam serba kemewahan. Namun malang sekali kemewahan yang dimiliki oleh mereka adakalanya tidak digunakan dengan sebaik mungkin malahan telah mengabur mata dan pandangan mereka untuk melihat kesusahan dan keperitan orang lain. Apa tidaknya, lihatlah anak-anak remaja hari ini, kalau nak makan sahaja, kebanyakkannya mereka gemar menjamu selera di restoran-restoran makanan segera yang setiap hidangannya mencecah belasan dan puluhan ringgit, minum kopi pula di Starbuck atau Secret Recipe yang harga segelas kopi atau keknya mencecah hampir sepuluh atau belasan ringgit. Pernahkah mereka terfikir segelas kopi yang harganya mencecah sepuluh ringgit itu, bagi orang-orang fakir dan miskin, nilai tersebut boleh menampung perbelanjaan dua hari untuk mereka sekeluarga! Renunglah dan muhasabahlah diri kita agar kita sentiasa menjadi hamba Allah yang tahu bersyukur.
Sesekali melihat ke langit, pandanglah juga rumput di bumi. Di luar sana masih ramai yang memerlukan bantuan dan menggantung harapan kepada belas ihsan dari kita yang mampu. Kita sanggup menghabiskan puluhan ringgit membeli filem DVD untuk anak-anak kita tanpa ada perasaan kedekut atau sayangkan duit tapi untuk bersedekah sekurang-kurangnya seringgit untuk tabung mesjid atau pada fakir miskin kita berkira. Kita sanggup membeli telefon bimbit harga ribuan ringgit atau menambah nilai top up puluhan ringgit tapi hendak menghulur seringgit dua kepada anak-anak yatim memohon derma untuk madrasah atau sekolah agama kita begitu lokek dan bakhil. Malahan bila nak beripun banyak benda dan perkara yang dipersoalkan. Yang lebih malang lagi, kita sanggup membeli tiket wayang atau konsert dengan harga puluhan ringgit malahan ada konsert mencecah ratusan ringgit tanpa banyak soal tapi begitu lokek, kikir dan bakhilnya kita untuk menghulur derma membantu golongan fakir miskin , ibu tunggal dan anak-anak yatim yang benar-benar memerlukan. Maka di mana letaknya tanggungjawab kita sesame muslim. Di mana letaknya keikhlasan kita bila nak menghulur derma seringgit duapun bertanya soalan melebihi anggota polis?
“Dan janganlah orang-orang yang kikir (memberikan) dengan apa yang Allah mengurniakan kepadanya dari kelebihanNya mengira bahawa kekikiran itu baik bagi diri mereka. Tidak! Bahkan itu adalah buruk bagi mereka. Nanti harta yang mereka kikirkan itu akan digantungkan di leher mereka di Hari Kiamat.”
(Ali Imran :180)
“Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(al-Israk: 26 – 27)
Bersabda Rasulullah S.A.W:
“Orang yang dermawan itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia sekalian, dekat dengan syurga, tetapi jauh dari neraka. Manakala orang yang kikir itu jauh dari Allah, jauh dari manusia sekalian, jauh dari syurga, tetapi dekat dengan neraka. Orang jahil yang dermawan lebih dicintai oleh Allah daripada orang alim yang kikir. Ingatlah bahawasanya penyakit yang paling parah sekali ialah kikir.”
Semoga Allah membuka mata hati kita. Secebis cerita di atas merupakan antara ribuan cerita kehidupan masyarakat yang masih berlaku di sekeliling kita dan semoga ia menjadi satu cerita penuh keinsafan . Kita memohon agar Allah sentiasa mendorong kita menggunakan segala kenikmatan kurniaanNya pada tempat-tempat yang diredhai Allah serta menjauhkan dari sifat-sifat kikir, kedekut, sombong, takabur dan bermewah-mewah tidak pada jalan Allah.
Semoga jumpa lagi…Insyallah
Rujukan
Imam Habib Abdullah Haddad. Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Pustaka Nasional Pte.Ltd, Singapura 2001
Syaikh Muhammad Jamaluddin Al Qasimi. Imam Ghazali: Bimbingan Mu’minin. Pustaka Nasional Pte.Ltd, Singapura 1999.
Lambaian Insaf V4
Link nota
kegersangan hati? maka carilah cinta ILAHI
Orang dahulu-dahulu ada menyebut,
“ Jika benar cinta, mana buktinya?”
Ya, sebilangan manusia ada yang terang-terangan mengaku diri mereka mencintai ALLAH S.W.T. Bukanlah salah hendak mengumumkan cinta. Rasulullah S.A.W. sendiri terang-terangan menyatakan diri mereka mencintai ALLAH. Malah ada banyak nasyid di dunia ini yang memanifestasikan cinta kepada ALLAH di dalamnya. Maksudnya, ramai manusia mengaku bahawa mereka mencintai ALLAH. Tetapi, apakah buktinya?
Saya menyelongkar bahan di dalam lap top saya, kemudian saya berjumpa dengan satu artikel bertajuk, Bukti-bukti cinta kepada ALLAH. Maka saya suka untuk berkongsi apa yang saya dapat. Elalui pembacaan saya terhadap artikel itu, bukti cinta kepada ALLAH ada sembilan. Banyak juga ya….
Pertama.
Cinta kepada kematian.
Orang yang bercinta tidak berat meninggalkan kediamannya menemui kekasihnya. Rasulullah bersabda: “Barangsiapa lebih suka berjumpa Allah maka Allah suka menjumpainya.” (Riwayat Muttafaqun Alaih). Menjelang kematiannya, Huzaifah berkata: “Kekasih hendak datang. Tidak ada kemenangannya disesali.” Seorang salafi pula berkata: “Tidak ada sesuatu perkara yang lebih disukai Allah pada seseorang hamba setelah kecintaan berjumpa dengan Allah, kecuali banyak sujud.”
Kedua.
Berjihad di jalan Allah.
Berperang dijalan Allah antara cara untuk membuktikan kebenaran cinta seorang hamba yang mahu bertemu Allah: “Sesungguhnya aku cinta Allah kerana itu berperang di jalan Allah dijadikan saksi sebagai salah satu tandanya.” Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur.” (ash-Shaaf: 4). Abu Bakar pernah berpesan kepada Umar: “Kebenaran itu berat, dalam keberatannya disertai rasa pahit. Kebatilan itu ringan, di samping ringan tetapi berpenyakit. Kalau kamu pelihara pesanku ini, tidak akan ada suatu keghaiban yang lebih kamu sukai selain mati, dan kematian pasti menemuimu. Tetapi, kalau sia-siakan pesanku ini, tidak akan ada suatu keghaiban yang kamu benci selain mati. Sekali pun kamu tidak mampu menundukkan kematian.” Said bin Musayab dan Bisyr al-Hafi pula berkata:“Tidak ada orang yang benci mati selain orang yang ragu. Kerana seorang kekasih dalam segala waktu tidak pernah benci berjumpa dengan kekasihnya.”
Ketiga.
Menundukkan hawa nafsu.
Allah memberikan sifat orang yang sangat mencintaiNya: “Mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hatinya terhadap barang-barang yang diberikan kepada mereka (kaum muhajirin) dan mereka mengutamakan orang-orang itu atas diri mereka sendiri walaupun mereka memerlukan barang-barang yang mereka berikan itu.” (al-Hasyr: 9). Sahal pernah berkata: “Tanda cinta kepadaNya adalah mendahulukan Allah atas diri sendiri.” Setiap orang yang mentaati Allah itu hanyalah orang yang menjauhi segala larangan. Ketentuan itu sebagaimana difirmankan Allah. Mencintai Allah menjadi sebab Allah mencintainya.
Keempat.
Sentiasa berzikir kepada Allah SWT.
Lisannya tidak bosan menyebut Allah. Suka mengingati Allah, suka membaca al-Qur’an sebagai kalamNya, mencintai RasulNya dan mencintai setiap orang yang mencintai RasulNya serta agamaNya. Seseorang akan meniru apa saja yang melekat pada diri orang yang dicintainya. Sufyan berkata: “Barangsiapa mencintai orang yang mencintai Allah SWT, sesungguhnya ia telah mencintai Allah. Barangsiapa yang memuliakan orang yang mengagungkan Allah sesungguhnya dia telah mengagungkan Allah.” Ibnu Mas’ud pula berkata: “Tidak sepatutnya anda mempertanyakan diri sendiri kecuali tentang al-Qur’an. Kalau anda mencintai al-Qur’an bererti anda mencintai Allah. Kalau anda tidak mencintai al-Qur’an bererti tidak mencintai Allah.”
Kelima.
Bermunajat kepada Allah.
Mempergunakan kesempatan beribadat pada waktu malam yang penuh ketenangan untuk memotong segala penghalang. Ibrahim bin Adham pernah ditanya sewaktu turun dari gunung lalu menjawab: “Dari bersenang-senang dengan Allah.”Antara tanda cinta adalah suka bersenang-senang sewaktu bermunajat dengan kekasih yang dicintai. Abu Bakar as-Shiddiq ra pernah berkata: “Barangsiapa merasakan kenikmatan kejernihan mencintai Allah, nescaya perhatiannya tercurahkan kepadaNya dibanding semua manusia.” Muthraf Abu Bakar pula berkata: “Orang yang mencintai itu tidak pernah bosan berbicara dengan kekasihnya.”
Keenam.
Tidak berduka dengan kehilangan sesuatu.
Seseorang yang mencintai Allah tidak terlalu berduka ketika mengalami musibah atau kehilangan sesuatu. Sebaliknya dia akan berduka apabila kehilangan waktu untuk berzikir kepada Allah dan melakukan amal ketaatan. Ulama golongan al-Arifin berkata: “Sesungguhnya Allah mempunyai sejumlah hamba yang sangat mencintaiNya dan memperolehi ketenteraman bersamaNya. Kehilangan apa saja yang dialami tidak meninggalkan bekas sama sekali. Mereka tidak begitu memerhatikan urusan yang berhubung kait dengan keperluan dirinya. Itu terjadi kerana kekuatan yang menguasai diri mereka untuk sempurna dan apa saja yang dikehendaki mudah didapati maka apa saja yang terlepas dari mereka, maka direnungkan secara baik.”
Ketujuh.
Nikmat melaksanakan ketaatan.
Kewajipan yang diperintahkan Allah dilaksanakan tanpa berasa beban. Ulama sufi berkata: “Aku bangun di tengah malam selama 20 tahun, selama itu aku benar-benar menikmatinya.” dan “Beramal atas dasar kecintaan tidak akan meletihkan badan.” Al-Junaid pula berkata: “Tanda orang yang mencintai Allah adalah giat dan rajin membina syahwat yang meletihkan badan tetapi tidak meletihkan hati.” Orang yang mengalami kerinduan tidak akan berat menempuh perjalanan untuk memenuhi keinginan kekasihnya.
Kelapan.
Menjalin kasih sayang sesama makhluk.
Orang yang mencintai Allah akan bertindak keras kepada musuh Allah dan orang yang memandang ringan perkara yang dibenci Allah. Firman Allah: “Mereka keras terhadap orang kafir, tetapi kasih sayang terhadap sesama mereka.” (al-Fath: 29). Bahkan, tidak takut kepada celaan orang dan berani menghadapi kemarahan mereka kerana Allah. Mereka disifatkan sebagai wali Allah: “Mereka berkumpul untuk mengingati Aku (berzikir) seperti burung berpusu-pusu membuat sarangnya. Mereka membenci terhadap segala perkara yang diharamkanNya.”
Kesembilan.
Takut berpaling daripada Allah.
Hamba sebegini takut jika kecintaan yang dimiliki lemah.
Nah, itulah dia Sembilan bukti. Semuanya manis, semuanya melapangkan dada. Malah kita telah membaca beberapa orang manusia sebelum kita yang telah membuktikan cinta mereka kepada ALLAH S.W.T.
Adakah kita mempunyai paling kurang salah satu dari bukti-bukti ini?
Hendak anda buktikan cinta anda?
Mari, kita bersama-sama menggapai cinta kepada ALLAH.
Label: Cinta Allah
Label: Muhasabah
