Lambaian Insaf V4

Sebab kerasnya hati adalah dosa, kemaksiatan, sering bergaul dengan orang-orang lalai serta orang-orang yang fasiq. Sedangkan penyebab hati menjadi lunak, bersih dan tentram adalah mentaati Allah, berteman dengan orang-orang baik, dzikir, membaca Al Qur’an dan istighfar. ~Asyraf Al-Fandani~

KEINDAHAN ISLAM MEMBAWA PERTUNJUK


Abu Jaafar Al-Haddad merupakan salah seorang wali Allah yang sangat terkenal. Suatu hari beliau mengikuti satu rombongan besar dalam perjalanan dari kota Basrah menuju ke kota Baghdad dengan menaiki sebuah kapal menyusuri sungai Dajlah. Di antara sekian ramai orang yang menyertai rombongan tersebut ada seorang lelaki yang menjadi perhatian Abu Jaafar Al-Haddad. Selama di dalam pelayaran, lelaki tersebut tidak pernah makan dan minum dan tidak pernah mengerjakan solat menyebabkan Abu Jaafar tertanya-tanya pada dirinya sendiri dan ingin tahu rahsia di sebalik kelakuan lelaki tersebut. Abu Jaafar Al-Haddad segera menghampirinya.

"Assalammualaikum saudara, boleh saya bertanya sedikit?" Sapa Abu Jaafar.


"Boleh, apa salahnya." Jawab lelaki itu dengan tidak mengendahkan salam Abu Jaafar Al-Haddad.


"Mengapa awak tidak pernah mengerjakan solat dan berjemaah dengan kami? " Tanya Abu Jaafar Al-Haddad.


"Saya ini bukan orang Islam," jawab lelaki itu selamba


"Jadi, engkau beragama apa?" Abu Jaafar Al-Haddad mahu kepastian.



"Saya beragama Nasrani," jawabnya.


Abu Jaafar berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, namun masih ada satu lagi persoalan dalam fikirannya iaitu bagaimanakah lelaki tersebut boleh tahan berhari-hari tidak makan dan tidak minum.


"Saya lihat awak tidak pernah makan dan minum?" Tanya Abu Jaafar.


"Saya bertawakal kepada Tuhan." Jawabnya pendek.


"Saya juga bertawakal kepada Allah," kata Abu Jaafar.


Ketika sampai ke suatu destinasi untuk berehat, Abu Jaafar masih lagi asyik berbual dengan lelaki Nasrani itu sehinggalah tiba waktu makan. Riuh rendahlah orang ramai ke sana ke mari mencari dan membuka bekalan masing-masing. Ada yang naik ke darat mencari sesuatu barang keperluan sebelum menyambung pelayaran. Tapi Abu Jaafar dan lelaki Nasrani yang masih lagi berbual-bual itu sudah berazam untuk bertawakal saja, tidak mahu berbuat demikian. Apabila orang ramai melihat kedua-dua mereka ini tidak mempunyai sebarang makanan, merekapun mengajaknya untuk makan bersama. Tapi Abu Jaafar dan lelaki itu tetap dengan pendirian mereka tidak mahu makan.


"Mari kita keluar dan berjalan di darat sana," kata Abu Jaafar kepada lelaki Nasrani itu.


"Boleh, tapi dengan syarat..." kata lelaki Nasrani.


"Apa syaratnya?" tanya Abu Jaafar.


"Jika kita masuk ke dalam kampung, tuan mesti berjanji yang tuan tidak akan masuk ke dalam masjid, dan begitu juga saya tidak akan masuk ke dalam gereja," terang lelaki Nasrani itu.


"Ya saya berjanji," kata Abu Jaafar dengan penuh yakin.


Merekapun berjalan merentas tanah yang terbentang luas sehingga senja mereka pun duduk istirehat berhampiran dengan tempat membuang sampah. Tiba-tiba datang seekor anjing hitam, mulutnya menggigit roti dan diletakkannya di hadapan lelaki Nasrani itu. Rupa-rupanya anjing itu hanya menghantar makanan untuk lelaki Nasrani yang bertawakal itu saja. Lelaki Nasrani tadi mengambil roti itu dan dimakannya dengan senang hati tanpa menoleh-noleh lagi kepada Abu Jaafar, apalagi hendak mempelawanya makan bersama. Akhirnya habis roti itu dimakan oleh lelaki Nasrani tersebut.


Setelah itu kedua-duanya meneruskan perjalanan meninjau-ninjau di kawasan perkampungan sehinggalah waktu senja. Apabila kepenatan, mereka berehat lagi. Tiba-tiba datang lagi anjing hitam itu membawa roti di mulutnya dan diletakkannya di hadapan lelaki Nasrani itu lalu dimakannya. Demikianlah yang terjadi setiap hari. Setiap kali si Nasrani mendapatkan makanan yang dihidangkan oleh seekor anjing hitam, dia memakannya sendiri tanpa menoleh dan mempelawa temannya menikmati bersama. Sementara Abu Jaafar sendiri, sibuk dengan mengerjakan solat setiap kali ketika lelaki Nasrani itu makan.


Pada hari keempat kedua-dua hamba Allah yang sudah saling kenal mengenali itu melalui sebuah perkampungan. Oleh sebab matahari sudah terbenam, mereka berhenti di suatu tempat bagi membolehkan Abu Jaafar Al-Haddad mengerjakan solat Maghrib di situ, sedang lelaki Nasrani itu memerhatikan dari jauh. Di dalam hatinya memuji Abu Jaafar Al-Haddad rajin menunaikan ibadah sembahyang walaupun mengikut perjanjian Abu Jaafar tidak boleh pergi ke masjid, namun dia tetap melakukan sembahyang.


Tiba-tiba datang seorang lelaki membawa sebuah dulang yang berisi makanan dan sebuah kendi berisi air. Dia berdiri di situ sehingga Abu Jaafar selesai solatnya. Setelah mengucapkan salam, orang itu meletakkan dulang yang dibawanya di hadapan Abu Jaafar.


"Sila bawa makanan ini kepada lelaki itu!" Kata Abu Jaafar kepada orang yang membawa dulang sambil menunjuk ke arah lelaki Nasrani tersebut.


Tanpa berkata apa-apa orang itu membawanya kepada lelaki Nasrani yang berada tidak jauh dari situ, sementara Abu Jaafar masih asyik mengerjakan solat.


Setelah Abu Jaafar selesai solat, lelaki Nasrani itu datang kepadanya dengan membawa dulang tadi.


"Wahai Abu Jaafar! Allah telah memperlihatkan kepadaku bahawa agamamu (agama Islam) adalah lebih baik daripada agamaku," kata lelaki Nasrani itu.


"Dari mana engkau mengetahui perkara ini?" Tanya Abu Jaafar Al-Haddad.


"Buktinya sudah cukup jelas. Ianya berlaku di hadapan mataku ini." Terang lelaki Nasrani itu lagi.


"Cuba awak terangkan kepada saya apa yang berlaku di hadapanmu itu?" Tanya Abu Jaafar menduga.


"Aku makan rezeki yang dihidangkan oleh seekor anjing, sedangkan aku adalah seorang manusia, berbeza dengan rezekimu dihidangkan oleh manusia. Maka dengan itulah aku tahu bahawa Islam itu adalah agama yang terbaik daripada agamaku." Kata lelaki Nasrani itu.


"Sekarang apa yang awak mahu?" Sambung Abu Jaafar.


"Tuan ! Sekarang juga dengan kerelaan hati saya sendiri, saya akan meninggalkan agama saya dan masuk agama Islam." Kata lelaki Nasrani itu.


Maka ketika itu juga lelaki Nasrani itu mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Abu Jaafar Al-Haddad Dia lalu membuang semua tanda-tanda atau lambang-lambang Nasrani yang ada pada dirinya. Abu Jaafar bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala. yang telah membuka pintu hati temannya untuk menerima Islam.


Semoga Allah memberikan rahmat kepada mereka yang telah mengambil Islam sebagai panduan dan pegangan hidup mereka . Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan kita kepada agama Islam dan dijadikannya kita sebagai umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.



* Dipetik dari kitab Raudhur Rayyahin Fii Hikayatus Salihin karangan Syeikh Imam Abdullah bin As’ad bin Fallah al-Yafii al-Yamany Asy-Syafie.



0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Tuan Guru dan Habib Umar

Tuan Guru dan Habib Umar

jom ikut saye

pelawat

free counters

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP