Lambaian Insaf V4

Sebab kerasnya hati adalah dosa, kemaksiatan, sering bergaul dengan orang-orang lalai serta orang-orang yang fasiq. Sedangkan penyebab hati menjadi lunak, bersih dan tentram adalah mentaati Allah, berteman dengan orang-orang baik, dzikir, membaca Al Qur’an dan istighfar. ~Asyraf Al-Fandani~

(Kaedah Merawat Hati)


~salam ketenangan~

(Kaedah Merawat Hati)

SETIAP hamba pasti pernah melalui hari mendung dalam hidupnya. Ketika itu dia akan berada dalam zon iman yang lemah dan keadaan itu membuat dirinya sangat tertekan. Apakah mungkin hidupnya boleh tenang jika hubungan dia dengan Allah Taala terancam?

Banyak sebab yang menyumbang kepada keadaan seperti itu. Antaranya ialah jika kita terlalu obses terhadap dunia hingga melupakan matlamat sebenar hidup ini. Tetapi bersyukurlah kepada Allah SWT kerana hati anda masih lagi hidup dan berasa sempit apabila menyedari kealpaan yang lalu.

Anda masih memiliki semangat untuk bangkit mencari iman yang hilang. Tetapi persoalannya, di manakah kita boleh menemukan iman yang hilang itu?

Ada beberapa tempat yang boleh kita kunjungi untuk mencari keimanan sejati. Antaranya;

Di hati kita sendiri. Sesiapa yang mahu memperbaiki diri mesti melihat ke dalam lubuk hatinya. Di situlah asal mula kebaikan bercambah menjadi benih yang baik.

Hati yang hidup biasanya sibuk menyoal pada tuannya, kenapa kamu lakukan itu dan ini? Untuk siapa dan apa faedahnya? Hanya ada satu zat yang dapat menguatkan hati kita, apabila kita bersandar padaNya maka hilanglah segala beban yang menyesakkan dada.

Siapakah yang kita cari jika hati terlalu sedih? Siapakah yang kita tuju jika mara bahaya telah mengepung dari segenap penjuru?

Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu maka tidak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." – (Surah Yunus: Ayat 107).

Hati yang sentiasa mengingati Allah SWT, di situlah akan bermula segala kebaikan tercipta. Hati yang membisikkan pada kita supaya bertaubat, melupakan segala yang berlalu dan memulakan hidup baru.

Hati adalah tempat jatuhnya pandangan Allah SWT, tempat berkumpul rahmat dan hidayah-Nya bagi mengikis segala syahwat yang melekat di dindingnya. Jika hati boleh disentuh umpama mangkuk kristal yang mahal, tuan empunya sudah tentu menjaganya dengan penuh kasih sayang. Jangan ada debu yang melekat, sentiasa dibersih dan diletak pada tempat yang aman. Tiada tangan kotor yang mampu menjamah.

Tapi sayang hati itu begitu murah pada pandangan manusia yang lalai, di biarkan retak menanti pecah berderai oleh dosa yang hitam. Masihkah ada peluang bagi kita membersih hati
yang dicipta Allah SWT untuk merasai sejuta nikmat. Nikmat iman dan Islam, nikmat kebahagiaan dan ketenangan.

Al-Fudail bin 'Iyadh berkata: "Sesiapa yang memperbaiki hatinya kerana Allah, nescaya Dia akan memperbaiki amal perbuatanmu. Sesiapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungannya dengan orang lain."


Iman yang hilang dan kehidupan sempit itu akan segera berakhir jika kita bersedia memperbaiki hubungan kita dengan Allah Taala. Melicinkan hati dari debu yang melekat, kerana tiada seorangpun yang sanggup menderita tanpa cahaya iman.

Berbuat adil terhadap diri sendiri.

Adakalanya penyakit jasmani dan mental menyerang manusia silih berganti. Bukankah itu petanda wujudnya kezaliman yang kita lakukan pada diri sendiri? Pemakanan yang tidak seimbang dan rehat yang tidak mencukupi menjadi punca kurangnya daya kekebalan tubuh.

Tekanan dalam menempa karier dan kerjaya, hubungan yang tegang dengan orang lain menjadi sebab tekanan berlarutan. Tetapi adakah kita juga merasai antara sebab tekanan dalam hidup ini ialah tidak tersedianya ilmu yang cukup, iman yang kebal dan ibadat yang ikhlas?

Anda boleh meminta nasihat doktor pakar atau mencari ubat alternatif yang menjadi gaya hidup manusia moden seperti rileks di spa dan melanggan pelbagai terapi yang diuji keberkesanannya. Semua itu ikhtiar yang baik selagi tidak menyalahi syarak.

Namun jangan mudah melupakan keperluan diri kita yang lain. Kalau hanya jasmani yang diambil berat, maka akan muncul ketidakseimbangan dalam hidup anda. Bagaimana dengan rohani sudahkah ia diubati?

Prof Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan dalam kitabnya Malamih Al-Mujtamak Al-Muslim: "Islam adalah agama yang realistik, ia berinteraksi dengan manusia secara keseluruhannya sama ada jasmaninya, rohaninya mahu pun akal dan perasaannya.

Islam meminta agar semua perkara itu diberi santapan yang cukup dalam batasan sederhana. Jikalau riadah itu menjadi santapan jasmani, ibadat menjadi santapan rohani, ilmu menjadi santapan akal maka seni pula menjadi santapan perasaan."

Keadilan dalam Islam cukup jelas ukurannya. Hanya manusia saja yang tidak mampu memberi kesaksamaan untuk dirinya sendiri. Ada yang terlebih mengutamakan dunia hingga melupakan agama, ramai pula yang terpukau oleh ajaran yang menyalahi asas ketulenan Islam itu sendiri.

Keadilan untuk diri kita adalah memberi hak kepada seluruh isi tubuh ini dengan sebaik-baiknya. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang sembahyang sepanjang malam dan berpuasa terus menerus pada siang harinya, sabda baginda SAW yang bermaksud:"Sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi mata mu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamu mu ada haknya."– (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Tiada yang lebih menyayangi kita selain Allah Taala dan diri kita sendiri. Jalannya telah ditunjukkan oleh Rasul-Nya SAW iaitu bersihkan hati dan berbuat adil pada tubuh badan ini.

~asyraf~
READ MORE - (Kaedah Merawat Hati)

~salam ketenangan~


Allah SWT telah membuat tiga sungai untuk membersihkan tubuh orang-orang yang berdosa. Jika ketiga sungai itu belum cukup makaAllah akan membersihkannya di Sungai Jahannam. Pertamaadalah sungai Taubatan Nasuha iaitu untuk melepaskan segala perbuatan dosa dan berjanji tidak akan mengulangi lagi.Kedua; sungai hasanat iaitu kebaikan-kebaikan yang akan mengubur semua bentuk keburukan. Dan Ketiga; sungai musibah azimah iaitu bencana atau ujian yang besar yang akan melebur setiap dosa. Apabila Allah mengkehendaki kebaikan kepada seseorang, Ia akan memasukkannya ke dalam salah satu sungai tersebut, hingga ia datang kepadaNya di hari kiamat dengan tubuh yang suci dan bersih.


(Ibnu Qayyim Al Jauziyah Rahimahullah)

READ MORE - Tiga sungai untuk orang berdosa


Abu Jaafar Al-Haddad merupakan salah seorang wali Allah yang sangat terkenal. Suatu hari beliau mengikuti satu rombongan besar dalam perjalanan dari kota Basrah menuju ke kota Baghdad dengan menaiki sebuah kapal menyusuri sungai Dajlah. Di antara sekian ramai orang yang menyertai rombongan tersebut ada seorang lelaki yang menjadi perhatian Abu Jaafar Al-Haddad. Selama di dalam pelayaran, lelaki tersebut tidak pernah makan dan minum dan tidak pernah mengerjakan solat menyebabkan Abu Jaafar tertanya-tanya pada dirinya sendiri dan ingin tahu rahsia di sebalik kelakuan lelaki tersebut. Abu Jaafar Al-Haddad segera menghampirinya.

"Assalammualaikum saudara, boleh saya bertanya sedikit?" Sapa Abu Jaafar.


"Boleh, apa salahnya." Jawab lelaki itu dengan tidak mengendahkan salam Abu Jaafar Al-Haddad.


"Mengapa awak tidak pernah mengerjakan solat dan berjemaah dengan kami? " Tanya Abu Jaafar Al-Haddad.


"Saya ini bukan orang Islam," jawab lelaki itu selamba


"Jadi, engkau beragama apa?" Abu Jaafar Al-Haddad mahu kepastian.



"Saya beragama Nasrani," jawabnya.


Abu Jaafar berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, namun masih ada satu lagi persoalan dalam fikirannya iaitu bagaimanakah lelaki tersebut boleh tahan berhari-hari tidak makan dan tidak minum.


"Saya lihat awak tidak pernah makan dan minum?" Tanya Abu Jaafar.


"Saya bertawakal kepada Tuhan." Jawabnya pendek.


"Saya juga bertawakal kepada Allah," kata Abu Jaafar.


Ketika sampai ke suatu destinasi untuk berehat, Abu Jaafar masih lagi asyik berbual dengan lelaki Nasrani itu sehinggalah tiba waktu makan. Riuh rendahlah orang ramai ke sana ke mari mencari dan membuka bekalan masing-masing. Ada yang naik ke darat mencari sesuatu barang keperluan sebelum menyambung pelayaran. Tapi Abu Jaafar dan lelaki Nasrani yang masih lagi berbual-bual itu sudah berazam untuk bertawakal saja, tidak mahu berbuat demikian. Apabila orang ramai melihat kedua-dua mereka ini tidak mempunyai sebarang makanan, merekapun mengajaknya untuk makan bersama. Tapi Abu Jaafar dan lelaki itu tetap dengan pendirian mereka tidak mahu makan.


"Mari kita keluar dan berjalan di darat sana," kata Abu Jaafar kepada lelaki Nasrani itu.


"Boleh, tapi dengan syarat..." kata lelaki Nasrani.


"Apa syaratnya?" tanya Abu Jaafar.


"Jika kita masuk ke dalam kampung, tuan mesti berjanji yang tuan tidak akan masuk ke dalam masjid, dan begitu juga saya tidak akan masuk ke dalam gereja," terang lelaki Nasrani itu.


"Ya saya berjanji," kata Abu Jaafar dengan penuh yakin.


Merekapun berjalan merentas tanah yang terbentang luas sehingga senja mereka pun duduk istirehat berhampiran dengan tempat membuang sampah. Tiba-tiba datang seekor anjing hitam, mulutnya menggigit roti dan diletakkannya di hadapan lelaki Nasrani itu. Rupa-rupanya anjing itu hanya menghantar makanan untuk lelaki Nasrani yang bertawakal itu saja. Lelaki Nasrani tadi mengambil roti itu dan dimakannya dengan senang hati tanpa menoleh-noleh lagi kepada Abu Jaafar, apalagi hendak mempelawanya makan bersama. Akhirnya habis roti itu dimakan oleh lelaki Nasrani tersebut.


Setelah itu kedua-duanya meneruskan perjalanan meninjau-ninjau di kawasan perkampungan sehinggalah waktu senja. Apabila kepenatan, mereka berehat lagi. Tiba-tiba datang lagi anjing hitam itu membawa roti di mulutnya dan diletakkannya di hadapan lelaki Nasrani itu lalu dimakannya. Demikianlah yang terjadi setiap hari. Setiap kali si Nasrani mendapatkan makanan yang dihidangkan oleh seekor anjing hitam, dia memakannya sendiri tanpa menoleh dan mempelawa temannya menikmati bersama. Sementara Abu Jaafar sendiri, sibuk dengan mengerjakan solat setiap kali ketika lelaki Nasrani itu makan.


Pada hari keempat kedua-dua hamba Allah yang sudah saling kenal mengenali itu melalui sebuah perkampungan. Oleh sebab matahari sudah terbenam, mereka berhenti di suatu tempat bagi membolehkan Abu Jaafar Al-Haddad mengerjakan solat Maghrib di situ, sedang lelaki Nasrani itu memerhatikan dari jauh. Di dalam hatinya memuji Abu Jaafar Al-Haddad rajin menunaikan ibadah sembahyang walaupun mengikut perjanjian Abu Jaafar tidak boleh pergi ke masjid, namun dia tetap melakukan sembahyang.


Tiba-tiba datang seorang lelaki membawa sebuah dulang yang berisi makanan dan sebuah kendi berisi air. Dia berdiri di situ sehingga Abu Jaafar selesai solatnya. Setelah mengucapkan salam, orang itu meletakkan dulang yang dibawanya di hadapan Abu Jaafar.


"Sila bawa makanan ini kepada lelaki itu!" Kata Abu Jaafar kepada orang yang membawa dulang sambil menunjuk ke arah lelaki Nasrani tersebut.


Tanpa berkata apa-apa orang itu membawanya kepada lelaki Nasrani yang berada tidak jauh dari situ, sementara Abu Jaafar masih asyik mengerjakan solat.


Setelah Abu Jaafar selesai solat, lelaki Nasrani itu datang kepadanya dengan membawa dulang tadi.


"Wahai Abu Jaafar! Allah telah memperlihatkan kepadaku bahawa agamamu (agama Islam) adalah lebih baik daripada agamaku," kata lelaki Nasrani itu.


"Dari mana engkau mengetahui perkara ini?" Tanya Abu Jaafar Al-Haddad.


"Buktinya sudah cukup jelas. Ianya berlaku di hadapan mataku ini." Terang lelaki Nasrani itu lagi.


"Cuba awak terangkan kepada saya apa yang berlaku di hadapanmu itu?" Tanya Abu Jaafar menduga.


"Aku makan rezeki yang dihidangkan oleh seekor anjing, sedangkan aku adalah seorang manusia, berbeza dengan rezekimu dihidangkan oleh manusia. Maka dengan itulah aku tahu bahawa Islam itu adalah agama yang terbaik daripada agamaku." Kata lelaki Nasrani itu.


"Sekarang apa yang awak mahu?" Sambung Abu Jaafar.


"Tuan ! Sekarang juga dengan kerelaan hati saya sendiri, saya akan meninggalkan agama saya dan masuk agama Islam." Kata lelaki Nasrani itu.


Maka ketika itu juga lelaki Nasrani itu mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Abu Jaafar Al-Haddad Dia lalu membuang semua tanda-tanda atau lambang-lambang Nasrani yang ada pada dirinya. Abu Jaafar bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala. yang telah membuka pintu hati temannya untuk menerima Islam.


Semoga Allah memberikan rahmat kepada mereka yang telah mengambil Islam sebagai panduan dan pegangan hidup mereka . Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan kita kepada agama Islam dan dijadikannya kita sebagai umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.



* Dipetik dari kitab Raudhur Rayyahin Fii Hikayatus Salihin karangan Syeikh Imam Abdullah bin As’ad bin Fallah al-Yafii al-Yamany Asy-Syafie.



READ MORE - KEINDAHAN ISLAM MEMBAWA PERTUNJUK
Related Posts with Thumbnails

Tuan Guru dan Habib Umar

Tuan Guru dan Habib Umar

jom ikut saye

pelawat

free counters

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP