Lambaian Insaf V4

Sebab kerasnya hati adalah dosa, kemaksiatan, sering bergaul dengan orang-orang lalai serta orang-orang yang fasiq. Sedangkan penyebab hati menjadi lunak, bersih dan tentram adalah mentaati Allah, berteman dengan orang-orang baik, dzikir, membaca Al Qur’an dan istighfar. ~Asyraf Al-Fandani~

Tingkatan Maqam Nafsu



Tingkatan Maqam nafsu

Sabda Rasulallah saw;

انّ في الجسد مضغة اذا صلحت صلح الجسد كلّه واذا فسدت قسد الجسد كلّه ألا وفي القلب.

'
Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak adam itu ada seketul daging bila baik ia nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah iaitulah hati. ( riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Hadis diatas menerangkan kepada kita pengaruh hati pada kelakuan bahkan seluruh penghidupan sesorang itu. Kerana jika baiknya hati kita maka baiklah segala perbuatan kita, jika jahatnya hati kita maka jahatlah segala kelakuan kita. Hati itu ibarat raja dan anggota tubuh badan adalah rakyat....jika hati mahukan itu dan ini maka anggota tubuh badanlah yang akan sedaya upaya melaksanakannya...

Nasfu itu sebenarnya ada yang baik dan ada yang jahat. Nafsu yang baik itu datang dari hati yang suci bersih contohnya seseorang yang selalu ingin melakukan kebaikan, suka beribadat, suka mengingati Allah, suka membaca al-Quran. Manakala nafsu yang jahat pula datang dari hati yang kotor lagi berkarat contohnya selalu ingin melakukan perbuatan yang jahat, hasad dengki,tamak dendam dan sewaktu dengannya...

Di dalam ilmu Tasawuf, peringkat-peringkat nafsu dan tanda-tandanya terbahagi kepada 7 martabat/darjat...

  1. Ahli Nafsu Ammarah
Tabiat hati ahli peringat ini selalu terdedah kepada godaan hawa nafsu dan syaitan. Oleh itu nafsu ammarah sentiasa menyuruh seseorang itu melakukan kejahatan, sama ada dia faham perbuatan itu jahat ataupun tidak. Baik jahat adalah sama di sisi perasaan hatinya. Dia tak pernah rasa bersalah atau menyesal dengan segala perbuatan jahatnya malah terkadang berasa lega dan gembira melakukannya.

Contoh sifat-sifat ahli nafsu ammarah ialah bakhil/kedekut, tamakkan harta dunia, panjang angan-angan, sombor dan takabbur, sukakan kemegahan dan kemayhuran, hasad dengki dan berdendam, lalai pada Allah dll.

Syurga tidak terjamin untuk mereka kerana mereka ibarat tembaga atau besi berkarat yang perlu dibakar terlebih dahulu sehingga suci bersih. Jika mahu mengikis sifat-sifat kotor dan berkarat ini hendaklah mereka masuk ke dalam golongan sufi serta mengikut cara peraturan orang-orang sufi bagi meleburkan sifat-sifat tersebut.

2. Ahli Nafsu Lawwamah

Nafsu Lawwamah ialah nafsu yang selalu mengkritik diri sendiri atau mencela diri sendiri apabila berlaku suatu kejahatan, atau dosa ke atas dirinya. Seperti firman Allah:

"Dan Aku (Allah) bersumpah demi jiwa yang selalu menyesali (dirinya sendiri/ lawwamah).....(surah al-Qiyamah: 2)

Nafsu ini lebih elok dan tinggi sedikit darjatnya daripada nafsu ammarah kerana ia tidak puas hati di atas dirinya yang melakukan kejahatan lalu ia mencela dan mencerca dirinya sendiri. Namun tabiatnya sekali sekala tidak terlepas dari melekukan maksiat dan kejahatan, lalu ia cepat-cepat beristigfar kepada Allah serta menyesal atas perbuatannya

Contoh sifat-sifat ahli nafsu lawwamah ialah mencela atas kesalahan diri sendiri, bertabiat berfikir (bertafakur), terdapat perasaan takut bila melakukan kesalahan, terdapat perasaan mengkritik terhadap apa jua yang dikatakan kejahatan, bersangka dirinya lebih baik (ujub)dan bersikap riak, memperdengar kpd orang tentang kebaikan yang dia lakukan sendiri supaya mendapat pujian.

Martabat nafsu lawwamah ini terletak pada kebanyakkan orang awam. Syurga untuk orang martabat ini masih tidak terjamin kecuali dengan keampunan dan rahmat dari Allah swt, kerana dihati mereka masih terlekat sisa-sisa sifat kotor yang perlu dihakis habis sperti riak, ujub dsb.

Mereka ibarat perak bercampur tembaga dan nilainya tinggi sedikit dari tembaga berkarat tadi. Jadi untuk mengikis segala sifat-sifat buruk mereka haruslah mengikis habis-habisan dari lubuk hati mereka dengan penawar jalan kesufian.

3. Ahli Nafsu Mulhamah

Nafsu Mulhamah ialah nafsu yang sudah menerima latihan beberapa proses kesucian dari sifat-sifat hati yang cemar melalui tariqat sufiah. Maka terbuanglah lintasan-lintasan fikiran kotor atau khuatir-khuatir syaitan dan diambil alih pula dengan lintasan-lintasan dari malaikat atau Allah dimana ia disebutkan sebagai 'ilham'.

Contoh sifat-sifat ahli nafu Mulhamah ialah tidak sayangkan harta, berasa cukup dengan apa yang ada, berilmu laduni atau ilham, tawaduk (merendah diri pada Allah), taubat yang hakiki, sabar yang hakiki, tahan menanggung ujian dan dugaan dll sifat terpuji..

Mereka boleh dinilai atau disifat dengan ahli syurga kerana mereka diibarat sebagai tuasa yang tetap tahan dan tidak boleh berkarat lagi. Mereka boleh dikatakan baru mulai masuk ke sempadan maqam wali yakni mereka kerap kali mencapai fana yang menghasilkan rasa makrifat dan hakikat (syuhud) tetapi masih belum istiqamah.

4. Ahli Nafsu Mutmainnah

Nafsu mutmainnah adalah permulaan mendapat darjat wali kecil ( ولاية صغرى) . Seperti firman Allah :

Wahai jiwa yang tenang ( nafsu mutmainnah). Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah kedalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah kedalam syurgaKu. ( surah al-Fajr :27-30)

Contoh sifat-sifat ahli nafsu Mutmainnah ialah murah hati tak lekat duit di tangan kerana selalu bersedekah, tawakal yang benar, arif dan bijaksana, kuat beribadat, syukur yang benar, redha pada segala hukuman Allah, Taqwa yang benar...

Biasanya mereka dari martabat ini tidak termesti mempunyai keramat-keramat yang luarbiasa , ilmu yang tak payah belajar (ilham) kerana ia dapat mengesan rahsia-rahsia dari Loh Mahfuz. Syurga untuk golongan ini terjamin kerana mereka ibarat emas 7 yang bermutu.

5. Ahli Nafsu Radhiah

Mereka sudah berjaya mencapai kejernihan hati yang teguh. Bukan senang mencapai maqam nafsu ini kerana ia bukanlah sebarang benda yang boleh disumbatkan ke dalam hati jika tidak ada kesungguhan yang hakikidalam perjuangan mujahadah dan ibadat dalam mencapai maqam nafsu yang mulia ini. Tabiat mereka adalah luar biasa kerana mereka tidak takut pada bala Allah dan tidak gembira pada nikmat yang diberikan Allah. Yang mereka tahu hanyalah keredhaan pada Allah dan hukumannya. Bagi mereka bala atau nikmat itu sama saja. Nafsu mereka sudah terkikis dari akar umbi kesemua sekali dan muncul pula sinaran nur syuhud yang membawa pada makrifat, datang bertalu-talu masuk ke dalam hati nurani mereka.

Maqam ini digelarkan wali Allah dalam martabat orang khawas. Mereka ibarta emas bermutu lapan dan syurga memang terjamin kerana sifat mereka yang zuhud, warak, ikhlas dan segala sifat terpuji yang tiggi-tinggi...

6. Ahli Nafsu Mardhiyyah

Maqam ini adalah yang tertinggi dari maqam radhiah kerana percakapan atau kelakuan mereka adalah diredhai Allah dan diakui Allah. Jiwa mereka, perasaan mereka, lintasan hati mereka, gerak geri mereka, penglihatan, pendengaran, pancaindera, penumbuk penerajang mereka kesemuanya diredhai Allah. seperti di dalam hadis Qudsi ;

"Sentiasalah hambaKu berdamping diri kepadaKu, dengan megerjakan ibadat sunnat hingga aku kasihkan dia, maka apabila Aku kasihkan dia nescaya dalah aku pendengarannya yang ia mendengar dengannya, penglihatannya yang ia dengar dengannya, pertuturan lidahnya yang ia bertutur dengannya, penampar tangannya yang ia tampar dengannya, berjalan kakinya yang ia berjalan dengannya, dan fikiran hatinya yang ia fikir dengannya.

Maka timbullah perkara-perkara ajaib yang luarbiasa seperti berjalan di atas air, terbang di udara, pergi ke Makkah dalam sekelip mata dsb. Mereka digelar wali Allah dalam martabat Khawas al-khawadh yakni wali Allah dalam martabat yang istimewa daripada wali-wali yang tertentu. Mereka ibarat emas bermutu sembilan dan syurga adalah terjamin.

Mereka bersifat budi berkerti yang tinggi ibarat nabi-nabi, dan sentiasa berfikir tentang kebesaran Allah serta segala sifat terpuji yang tertinggi sekali.

7. Ahli Nafsu Kamil

Orang yang hendak mencapai nafsu kamil ini mestilah ia melalui dahulu proses perjalanan nafsu-nafsu satu demi satu dari nafsu yang terendah sekali iaitu ammarah hingga sampai ke maqam nafsu yang tertinggi iaitu nafsu kamil. Maqam nafsul ini adalah tertinggi dan teristimewa sekali dari maqam wali-wali yang ada di muka bumi ini. Kerana mereka dapat menghimpunkan antara batin dengan zahir atau antra hakikat dengan syariat.

Ruh mereka atau hati mereka kekal dengan Allah tetapi zahir tubuh kasar mereka bersama-sama dengan pergaulan orang ramai. Hati mereka kekal bersama Allah tidak kira diwaktu lena ataupun jaga mereka dapat musyahadah dengan Allah dalam setiap ketika. Tidak dapat dinilai dengan apa-apa walaupun duni dan seisinya kerana ia adalah khawas al-khawas. Segala kelakuan mereka adalah ibadat semata-mata. Syurga bagi mereka adalah yang teristimewa sekail.

Akhir sekali sama-samalah kita nilai dimanakah letaknya kedudukan hati kita, maqam hati kita dan nilai diri kita di mata Allah swt... Alangkah jauhnya untuk kita tempuhi jalan yang penuh onak duri ini...namun dengan kesungguhan, istiqamah yang berteusan, Biiznillah Allah akan beri peluang pada kita untuk kita menghampiriNya. Sesungguhnya Allah tidak akan menghampakan hambaNya yang ingin mendekatiNya....asalkan hati kita ikhlas...hanya kerana Allah bukan kerana ingin mendapatkan ilham, kasyaf, keramat, mahupun syurga... kerana hati yang ikhlas hanya pada Allah dan hanya kerana Allah semata-mata. Wallahu'alam
sumber

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Tuan Guru dan Habib Umar

Tuan Guru dan Habib Umar

jom ikut saye

pelawat

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP