Lambaian Insaf V4
“ Sebab kerasnya hati adalah dosa, kemaksiatan, sering bergaul dengan orang-orang lalai serta orang-orang yang fasiq. Sedangkan penyebab hati menjadi lunak, bersih dan tentram adalah mentaati Allah, berteman dengan orang-orang baik, dzikir, membaca Al Qur’an dan istighfar. ”~Asyraf Al-Fandani~
Susahkan nak maafkan orang? Ya. Saya akui susah. Bukan mudah hendak memaafkan orang yang telah melukakan kita. Yang mungkin memfitnah kita. Yang mungkin menyebar cerita-cerita palsu fasal kita. Yang suka membuat spekulasi dan cerita itu dan ini berkenaan kita. Yang tikam kita dari belakang. Yang khianat kita. Yang tak habis-habis cari fasal dengan kita. Yang itu, yang ini, yang begitu dan yang begini.
Memang susah hendak memaafkan. Saya tidak bohong.
Lebih-lebih lagi apabila kita sudah cuba berlapang dada, berhenti dari meneruskan sengketa, bahkan menghulurkan tangan meminta kemaafan kalau-kalau ini semua dimulakan oleh diri kita, tetapi kita tidak dilayan bahkan semakin menjadi-jadi pula kebencian mereka terhadap kita.
Memang susah. Saya tidak pernah kata senang.
Tetapi berikanlah kemaafan.
Walaupun sukar.
Jangan jual jiwa kamu.
Apakah untungnya kita melenting dengan orang yang melakukan macam-macam pada kita?
Ya, saya faham jiwa kita sakit. Hati kita cedera. Kita terasa. Lagilah kalau orang-orang itu kita sayang sebenarnya. Kita anggap macam keluarga kita. Keluarga mereka pun kita rapati dengan baik, adik beradik mereka pun kita layan dengan baik, bahkan kita pernah memberikan hadiah kepada mereka, dan bertanya pula apa salah kita yang membuatkan mereka tidak suka kepada kita.
Dengan sikap mereka yang masih membenci kita, bahkan cerita 1001 macam berkenaan kita, spekulasi macam-macam, menimbulkan persoalan-persoalan yang membawa fitnah kepada kita, memang kita akan terluka dan sangat-sangat terluka. Ya. Saya faham.
Tetapi perasankah, apabila kita mula 'membenci' mereka, rasa 'sakit hati' dengan sikap mereka, rasa hendak 'membalas' apa yang mereka lakukan, tidakkah anda melihat 'kehitaman' yang mula 'menjamah' jiwa anda?
Tidakkah anda melihat bagaimana syaitan mula 'memeluk' jiwa anda?
Tidakkah anda sedar iblis yang sedang 'mentertawa'kan anda?
Apa bezanya anda, dengan mereka yang melakukan pelbagai perkara kepada anda itu?
Bukankah di dalam jiwa anda juga ada kebencian yang menjijikkan itu?
Bukankah di dalam akal anda, tiada rasional yang menyenangkan itu?
Jangan jual jiwa kita wahai saudara-saudari yang saya cintai.
Jangan jual jiwa kita.
Biar Allah laknat mereka, biar Allah balas mereka!
Ada yang tersangat terluka, ada yang tersangat sakit hati, mungkin kerana diri sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kesilapan silam diri, mungkin kerana diri sudah berkorban pelbagai perkara agar suasana jernih kembali, tetapi terasa seperti tersangatlah bodoh dirinya dengan segala usaha itu apabila orang-orang itu buat dek sahaja.
Maka diangkat tangan dan berdoa: "Ya Allah, laknatilah mereka. Lihatlah mereka itu Ya Allah. Hitunglah mereka. Balaslah perbuatan mereka. Porak perandakanlah kehidupan mereka!" Dengan air mata kesakitan yang mengalir-alir.
Turunkan tangan kita itu. Hentikan doa itu. Jangan.
Apakah yang sedang 'memeluk' jiwa anda ketika anda mendoakan kecelakaan itu?
Adakah orang-orang itu memijak ISLAM anda? Adakah orang-orang itu menghina TUHAN anda? Tidak. Tidak dan tidak. Mereka hanya tidak menyenangi anda. Mereka hanya mengeji anda. Mereka hanya membuat spekulasi berkenaan anda. Mereka hanya memfitnah anda.
"Tapi aku dah usaha baiki diri aku. Ingat senang? Mereka nak apa? Sempurna macam malaikat?"
Ya. Saya faham susah. Saya faham. Saya faham kesakitan itu.
Tetapi kenapa kesabaran itu perlu dihentikan hari ini? Kenapa perlu melayan perasaan 'terasa bodoh' itu? Syaitan sedang membolak balikkan anda sebagaimana anak kecil membolak balikkan bola. Syaitan sedang menambah ranting-ranting kayu pada api kecil yang menanti membakar balak.
Tenang wahai saudara saudariku.
Angkat tanganmu kembali. Sebutlah: "Ya Allah, kekalkan kesabaranku. Lapangkan jiwaku. Dan AMPUNkanlah mereka semua itu, sesungguhnya mereka tidak mengetahui. Mereka tidak mengetahui hal yang sebenar. Mereka tidak mengetahui motifku yang sebenar. Mereka tidak mengenaliku secara benar. Maka AMPUNkanlah mereka, dan AMPUNkanlah diriku yang mungkin menyebabkan semua ini berlaku. LAPANGkanlah jiwa mereka untuk menerimaku, dan teruslah LAPANGkan jiwaku untuk menerima mereka."
Seka air mata tadi.
Macamlah mereka pun tak ada salah. Salah mereka lagi besar!
Kita bengang. Usaha kita untuk berbaik tidak diterima. Alasannya adalah dosa-dosa silam yang entah dari kurun ke berapa. Alasannya adalah alasan rapuh yang sebenarnya dengan beberapa penjelasan semuanya boleh diselesaikan. Salah silap kita diungkit-ungkit. Kecil dikorek-korek, yang besar lagi digolek-golek. Seakan kita memang tidak berhak untuk berbaik-baik dengan 'golongan mereka'.
Kita bengang. Kita nak ungkit kesalahan mereka. Ya. Mereka ingat kita tidak tahu semua keaiban mereka?
"Diorang ungkit dosa-dosa aku, aku pun nak ungkit dosa-dosa mereka!"
Oh. Jangan-jangan. Berhenti sebentar. Lihatlah cermin. Lihatlah wajah anda semasa melaungkan ayat itu. Anda sukakah? Adakah itu anda yang anda suka?
Jangan rendahkan martabat anda.
Kita hamba Allah. Yang hendak mengajak manusia kepada kebaikan. Mengapa kita hendak memalukan mereka? Apakah itu membawa kepada kebaikan? Adakah dengan membalas perbuatan mereka dengan perbuatan yang serupa, ia membawa kepada kesatuan? Adakah selepas itu mereka akan baik dengan kita?
Tenang.
Kita selesaikan urusan kita. Mereka, kita doakan agar mereka dapat juga melaksanakannya.
Di dalam Langit Ilahi 3: Fanzuru, saya ada nyatakan berkenaan kata-kata seorang khatib di Jordan, yang menyatakan bahawa tanggungjawab kita dengan saudara kita adalah tanggungjawab kita kepada Allah SWT. Baik kepada saudara kita, membina hubungan yang diredhai Allah dengan mereka, cuba meminta maaf segala kesalahan kita, memaafkan semua kesalahan mereka, itu semua adalah tanggungjawab kita kepada Allah SWT sebenarnya.
Kita bukan mengharapkan kecintaan mereka. Kita bukan mengharapkan kasih sayang mereka. Kita bukan mengharapkan mereka memuji kita.
Kita hanya harapkan keredhaan Allah SWT.
Manakala mereka kepada kita, itu adalah mereka dengan Allah SWT. Mereka maki kita, spekulasi perihal kita, memburuk-burukkan kita, mengeji kita, memfitnah kita, membenci kita, tidak membalas kebaikan-kebaikan kita,tidak hendak melihat kepada perubahan-perubahan kita, itu semua adalah antara mereka dengan Allah SWT.
Mari menjadi 'ibad Ar-Rahman
'Ibad Ar-Rahman adalah hamba(yang mengabdikan diri) kepada Ar-Rahman, yakni Allah SWT. Jika kita benar-benar hendak menjadi hambaNya, maka lihatlah salah satu ciri-ciri 'ibad Ar-Rahman.
"Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;"
Surah Al-Furqan ayat 63.
Dan lihatlah kebenaran bicara saya di atas, dengan kalam Allah SWT ini:
"Jadilah kau orang yang pemaaf, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya). Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)."
Surah Al-A'raff ayat 199-201.
Jadilah pemaaf. Suruhlah perkara yang baik. Berpalinglah dari orang-orang jahil. Kalau dihasut syaitan, maka mintalah perlindungan daripada Allah. Sesungguhnya sekiranya kita benar bertaqwa, hendakkan keredhaan Allah, maka apabila syaitan berusaha 'memeluk' kita, maka kita akan ingat bahawa kita hamba Allah, segera kita menjauh dari syaitan dan mengambil jalan yang benar, yakni memaafkan dan mengajak kepada kebaikan.
2 ulasan:
great.. nice entry.. it's real.. sgt2 memberi kesedaran.. tq!
Assalam. Terima kasih di atas kata-kata nasihat yang sangat berguna. Apatah lagi di kala hati sedang sakit dan sedih, amarah dan kecewa apabila disakiti oleh orang yang kita sayang dan terdekat dgn kita. Sememangnya manusia sentiasa membuat kesilapan. Biarpun ruang dan peluang untuk tidak mengulanginya lagi telah diberi, tetapi saya akur, selagi bernama manusia, maka selagi itulah kesilapan akan dilakukan. Apabila kita redha dan ikhlas dalam memaafkan seseorang, hati yang keras pada mulanya akan menjadi tenang setenangnya. Dan jauh di sudut hati, kita akan tetap berdoa agar mereka ini berubah. :)
Post a Comment