Lambaian Insaf V4

Sebab kerasnya hati adalah dosa, kemaksiatan, sering bergaul dengan orang-orang lalai serta orang-orang yang fasiq. Sedangkan penyebab hati menjadi lunak, bersih dan tentram adalah mentaati Allah, berteman dengan orang-orang baik, dzikir, membaca Al Qur’an dan istighfar. ~Asyraf Al-Fandani~



Sahabat yang dirahmati Allah,

Sabda Nabi S.A.W maksudnya : "Seorang mukmin adalah orang yang mulia lagi pemurah dan orang fasik adalah penipu dan tercela." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Sabda baginda lagi maksudnya : "Tidak pernah terkumpul sifat bakhil dan iman di hati seorang hamba." (Hadis Sahih Riwayat Nasa'i)

Sifat pemurah adalah sifat mahmudah yang sangat dituntut oleh Islam. Pepatah ada mengatakan " Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah". Kata-kata ini begitu sinonim dengan sifat dermawan seseorang itu. Sifat pemurah ialah sifat yang berada di tengah-tengah antara bakhil dan boros.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat dengan manusia dan jauh daripada api neraka. Orang yang kedekut itu jauh daripada Allah, jauh daripada manusia dan dekat dengan neraka. Sesungguhnya orang yang bodoh tetapi pemurah itu lebih disayangi Allah daripada seorang abid yang bakhil."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Rasulullah S.A.W. merupakan antara lelaki yang kaya kerana 1/5 daripada harta rampasan perang(ghanimah) adalah milik Baginda. Namun baginda tidak meninggalkan apa-apa harta selepas kewafatan baginda. Baginda merupakan seorang pemimpin yang pemurah mengamalkan budaya hidup setara rakyat jelata. Diriwayatkan bahawa bagida membahagikan harta rampasan perang miliknya dalam masa tidak sampai satu jam kepada sahabat-sahabat yang memerlukannya.

Sahabat yang dimuliakan,

Sukakan harta (hubbul Mal) merupakan fitrah semulajadi manusia, sebagai alat bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Namun untuk mencapai kebahagiaan itu ialah dengan banyak memberi sumbangan, sedekah dan untuk kerja-kerja dakwah dan tarbiah dan bukan membelanjakan harta untuk diri sendiri dan keluarga semata-mata.


Harta yang dibelanjakan di jalan Allah S.W.T. adalah seolah-olah kita berniaga dengan Allah S.W.T. dan sesungguhnya tidaka akan rugi sesiapa yang menjalankan perniagaan dengan Allah S.W.T.

Selain itu, Islam sangat menganjurkan kepada penganut-penganutnya menjadi pemurah. Bukan sekadar sanggup mengorbankan yang wajib sahaja. Mereka digalakkan bersedekah, menderma, memberi hadiah, mewakafkan harta seperti tanah, bangunan, kebun, bahan-bahan bacaan, kenderaan dan lain-lain lagi agar cepat masyarakat Islam terbangun.

Hasilnya kelak, yang sedang maju akan bertambah maju. Yang kurang maju akan jadi maju. Yang kurang, dapat dicukupkan. Yang koyak dapat ditampal. Yang lemah dapat dikuatkan. Yang tidak sempurna dapat disempurnakan. Yang tidak sudah, dapat disudahkan. Yang tidak mampu, dapat hidup bersama-sama dengan orang yang mampu. Agar yang sedih menjadi ceria semula. Yang terbiar dapat dibela. Juga agar fakir miskin tidak sengsara, anak-anak yatim terbela dan janda-janda dapat dijaga.

Sifat-sifat pemurah terutama daripada orang-orang kaya dan berada akan menyebabkan masyarakat Islam terbela. Masyarakat Islam akan cepat maju dan kasih sayang akan terjalin. Hubungan antara orang kaya dan miskin semakin rapat. Tidak ada orang yang terbiar. Akan wujud perpaduan dan kerjasama. Tiada lagi jurang. Sudah tentu kadar jenayah juga akan berkurangan. Maka semua orang akan hidup dalam aman bahagia, murni dan harmoni. Itulah kesan daripada sifat pemurah dan tawaduknya orang-orang kaya. Banyak masalah masyarakat dapat diselesaikan. Sebab itulah sifat pemurah sangat dikasihi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bahkan dikasihi juga oleh semua orang.

Firman Allah SWT maksudnya : "Belanjakanlah (hartamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik." (Surah al-Baqarah ayat 195)

Sahabt yang dikasihi,

Ingatlah! Dengan sifat pemurah kalian tidak akan menjadikan papa. Bersedekahlah selalu kerana setiap amalan tidak akan menjadi sia-sia. Dan jadikanlah pemurah itu budaya hidupmu, kalian akan dekat dengan Tuhan, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga dan jauh dengan neraka.

Sifat bakhli, jauh dengan Tuhan, jauh dengan manusia, jauh dengan syurga dekat dengan neraka. Sifat pemurah itu menghilangkan hangat kubur, penaung di Padang Mahsyar dan penutup aurat di akhirat.

Orang pemurah selalunya di hujung umurnya dapat hidayah sebaliknya orang bakhil walaupun ahli ibadah, selalunya su'ul khatimah (kematian yang buruk). Pemurahlah, ia akan menambah rezeki, menambah harta, memajukan negara, pembersih jiwa, membuang ego, dan di sukai dan dikasihi Allah S.W.T.

Bila sifat pemurah sudah hilang di dalam kehidupan datanglah kemurkaan Allah. Akibatnya, akan ditimpa bermacam mala petaka dan akan menjadi papa kedana, saudagar akan muflis kerana rugi dalam perniagaan, orang kaya kehilangan hartanya tidak tahu puncanya. Pemerintah dan pentadbir pening kepala kerana tidaka ada keberkataan, bala datang silih berganti, rakyat akan menderita dan kesetabilan dalam masyarakat tidak wujud. Oleh itu jauhilah dosa dan hidupkan semula sifat pemurah hingga ianya menjadi budaya dan pembahagiaan harta kekayaan di dalam masyarakat akan berlaku.

Sahabat yang dikasihi,

Firman Allah S.W.T maksudnya : "Adapun hamba-hamba TuhanYang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan dimula bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan "salam" (Surah al-Furqan ayat 63)


Marilah kita sama-sama merenung segala sifat yang perlu ada pada mereka yang ingin menjadi hamba Allah yang pengasih dan pemurah. Cuba tanya dan muhasabah diri kita adakah semua sifat itu sudah ada ataupun semuanya belum tersemat lagi di dalam kita.

Marilah kita sama-sama melakukan reformasi diri ke arah yang lebih terbaik daripada hari-hari semalam yang telah berlalu. Hari kematian kita tidak tahu, begitu juga dengan segala amalan kita adakah diterima ataupun tidak. Oleh itu kita hendaklah sentiasa menambah amalan serta memastikan segala sifat yang dirakamkan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah dan al-Furqan di atas itu mampu kita hayati bersama. Yakinlah kita bahawa setiap sesuatu yang diberitahu oleh Allah di dalam kitab suci Al-Quran bukanlah sesuatu yang hanya berbentuk teori tetapi ia mampu dibuat dan diamalkan oleh hamba-hamba-Nya yang beriman dan sentiasa mengamalkan segala apa yang terkandung dalam Al-Quran.



0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Tuan Guru dan Habib Umar

Tuan Guru dan Habib Umar

jom ikut saye

pelawat

free counters

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP